Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
  
Ada  sebuah hakikat yang saya berpegang  dengannya. Saya yakin benar bahawa  Allah sesekali pun tidak mahu walau  seorang pun manusia masuk ke dalam  neraka-Nya. Allah sentiasa mahu  hamba-Nya ke syurga. Ah, memang syurga  ini diciptakan untuk kita. Cuma,  banyak antara manusia yang melupai  hakikat itu, dan merajuk dengan  Allah.
Ia   bukanlah simptom yang jarang. Ia bahkan merebak hingga ke pelusuk   lapisan masyarakat. Kanak-kanak dengan rajuknya, orang dewasa dengan   rajuk mereka pula. Si tua, bahkan masih kuat rajuknya pada Ilahi. Ya,   rajuk si hamba yang berbeza-beza, lelaki dan wanita.
Seperti   yang saya nyatakan di awal, sungguh Allah sesekali pun tidak mahu  walau  seorang hamba-Nya ke neraka. Bukti yang ada cukup jelas. Dia  hantarkan  rasul demi rasul, seorang demi seorang untuk memimpin manusia  agar kukuh  telapak kaki mereka menyusuri landasan hamba sehingga rasul  terakhir, Nabi  Muhammad s.a.w.
  
  
  
Seseorang  bertanya kepada saya, mengapa Muhammad s.a.w ialah yang terakhir?
Saya   tidak dapat menemukan jawapan yang lebih baik daripada ini. Saya dan   kamu, bahkan setiap muslim telahpun diberi tugas untuk menyambung tugas   kenabian. Tugas setiap rasul-rasul terdahulu, dibebankan pada setiap   daripada kita, iaitu berdakwah. Jika kalian ada membaca surah Taha,   lihatlah pada ayat-ayat yang menceritakan kisah Nabi Musa a.s yang mahu   berdakwah kepada firaun. Lalu, Baginda meminta kepada Allah agar Allah   menaikkan taraf saudaranya, Harun a.s sebagai rasul, untuk membantunya   berdakwah.
Suatu  hakikat, dakwah pada zaman dahulu hanya dilakukan oleh rasul.
Kerana   Allah sayangkan setiap manusia, Dia mewajibkan dakwah kepada kita. Dia   menyuruh kita masuk syurga, dan mengajak orang lain juga masuk dalam   syurga. Surah At-Tahrim juga ada menceritakan tentang ini. Islam bukan   agama yang selfish. Sesekali Allah tidak menyempitkan syurga-Nya. Oleh   itu, sangat perlu untuk kita mengajak orang lain agar sama-sama bertatih   ke syurga. Perlu!
  Itu  bukti jelas bahawa Allah mahu setiap manusia masuk syurga.
  
  
    
  
  
Memang   manusia punya kelemahan. Tapi bagi saya, kelemahan itu ialah lambang   kehambaan. Sekiranya tiada langsung cacat cela jua kelemahan, maka pasti   kita akan merasa diri seperti tuhan. Pun begitu, ramai yang menerima   kelemahan mereka sebagai alasan untuk merajuk dengan Allah.
Lihatlah   realiti... Bukan semua manusia bermaksiat kerana hati mereka bulat   untuk itu, tetapi ramai yang bermaksiat kerana protes dan merajuk dengan   Allah. Sebagai contoh, seorang gadis yang tidak cantik, sanggup   memotong bulu kening, mewarnakan rambut, dan lain-lain, semata-mata   kerana dia rasa Allah tidak adil kepadanya. Rajuknya menjadi permulaan   dosa.
Adapun   seorang atau dua lelaki yang mengambil dadah dan hanyut dalam dunia   jijik rekaan mereka... adakalanya mengambilnya bukan kerana mahu, tetapi   kerana protes dan merajuk kepada Allah. Dirasakan Allah tidak adil   kepada mereka.
Gadis  pula, sesudah merasakan Allah tidak adil padanya, maka dia melacurkan  pula batang tubuhnya.Sama  dengan judi, arak, dan lain-lain.
Allah   tidak zalim. Allah tidak sekali pun berhenti daripada memandang kita   dengan pandangan rahmat kerana di sisi-Nya, pintu keampunan terbuka   seluas-luasnya. Allah memberi masa yang panjang untuk kita berubah.   Janjinya jelas... sekali kita bertaubat dengan taubat yang sebenar, maka   di sisi-Nya, kita seperti manusia yang tiada dosa. Allah tidak lokek   memberi ampun.
Allah   tidak berdendam, bahkan terlalu memaafkan. Seorang lelaki yang   sepanjang hayatnya menghina islam, menghina rasulallah dan mencaci maki   Allah, sedang dia sudah tua dan hampir mati, pun masih Allah sudi   lemparkannya hidayah kepadanya. Si tua itu masuk islam, dan mati sebagai   'kanak-kanak' dalam jasad orang tua.
Bahkan   dahulu, ada seorang wanita Yahudi yang tua dan buta, setiap hari   mencaci Rasulallah s.a.w. Baginda senyum sahaja, sambil tangannya   menyuapkan roti ke dalam mulut wanita itu. Berlarutan... hingga di senja   usianya, Allah menerima wanita yang mencaci dan memaki Rasul-Nya,   sebagai hamba-Nya.
  
  
Al-Wahsyi,   seorang lelaki yang menyebabkan Rasulallah s.a.w menangis kerana sedih   melihat jasad Saidina Hamzah r.a terkulai bersama tikaman dan luka  yang  teruk, juga Allah pilih untuk menjadi hamba-Nya.
Khalid   al-Walid ra. yang banyak membunuh tentera-tentera islam di medang   perang juga akhirnya dipilih oleh Allah untuk memeluk agama ini dan   terus berjuang untuk syurga.
Semua  kisah-kisah ini adalah kisah manusia hebat. Manusia yang penuh dosa,  tetapi mereka memilih untuk menyucikan diri mereka.
 
  
Saudaraku...   ingatlah! Allah sentiasa sayang kepada kita. Dia tidak menzalimi kita   walau sedikit. Dia cuma sedang menguji kita. Janganlah kita merajuk   dengan Allah. Jangan pula kita berdendam dengan Allah.Allah  sayang kita... terlalu sayang.
Jika   orang yang pernah menghina Rasulullah s.a.w dan mencaci Allah pun masih   diberi keampunan oleh-Nya, mengapa pula kita memilih untuk putus asa   daripada keampunan-Nya?
Wallahualam...
*Mimbar masjid Negara
Wallahualam...
*Mimbar masjid Negara
 
 
 
 
0 Komentar untuk "::La TahZan : JaNgan MeRaJuK SaYaNg..::"