::.Warkah Musafir..:

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Sememangnya kehidupan manusia berunsurkan akal, rohani, jasmani dan emosi. Keempat-empat unsur ini menjadikan manusia hidup seimbang dan sempurna jika diharmonikan dengan sewajarnya. Akal wajar pada ilmu, rohani wajar kepada uzlah sendirian dan “bertemu” Tuhan, Jasmani wajar kepada makanan yang seimbang dan tubuh yang sihat, emosi wajar kepada kesabaran dan kesenian.
Dan duduknya hiburan pada emosi tentu sekali sering mencabar nilai diri. Emosi memang tidak pernah puas jika dikuasai nafsu. Seperti jua ilmu tidak akan menemui kebenaran jika tidak merujuk al-Quran dan as-Sunnah dan juga jasmani tidak pernah sihat jika makanan dan tubuh badan bersumberkan perkara yang haram dan syubahat. Jika rohani dapat bersepadu dengan akal – bermakna seseorang itu sudah sampai kepada insan kamil. Pada tahap ini, keempat-empat unsur tersebut sebati menjadi satu.
Sebagai anak muda – hiburan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Kita sering mencari hiburan seperti juga kita sering mencari ketenangan. Kerana kedua-duanya boleh digandingkan walaupun ada waktunya ia boleh saling bertentangan.
Antara siulan beburung yang berterbangan dengan gemersik rimbun bambu tentu berbeza dengan bunyi daripada petikan gitar kerana satu dilahirkan secara fitrah dan satu lagi terhasil dari imiginasi dan kreativiti pemuzik.Semua adalah sama – bunyi muzik.
Dan nyanyian juga boleh melalaikan. Ketika Israel hendak melancarkan perang ke atas Mesir, mereka menunggu waktu rakyat Mesir mendengar penyanyi lagenda Mesir, Umi kalthum mengalunkan suaranya di radio. Ketika itu tidak dapat membezakan antara suara Umi Kalthum yang merdu dengan bunyi bom yang menggegarkan. Alangkah tragisnya!
Seorang anak muda yang hidupnya sendat dengan muzik tiba-tiba jiwanya ingin beralih kepada agama. Kosong jiwanya kerana muziknya sekadar hiburan luar yang langsung tidak menyentuh roh sebaliknya jiwa agamanya semakin lama semakin menipis dan hampir mati. Mujur dia tidak pernah meninggalkan solat. Barangkali dahi yang sujud pada bumi berjasa untuk mengingatkan masa hadapannya yang masih panjang.
0 Komentar untuk "::.Warkah Musafir..:"

 
Copyright © 2016 Faqihah Solutions - Hak Cipta Terpelihara
Published By : Faqihah Solutions