.:Kamu Sahabatku Tapi Aku Bukan Sahabatmu..::


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani..

Di dalam kehidupan ini, kita suka diberi. Disuap adalah kebiasaan manusia. Tidak ramai manusia menggerakkan diri mereka untuk menyuap dan memberi. Sebab itu, lebih ramai manusia tidak mahu berusaha, tetapi hanya menunggu rezeki datang bergolek kepada diri mereka.

Begitu juga dalam persahabatan. Kita biasanya suka menerima. Atau, kita suka apa yang kita beri itu, dibalas semula. Jika tiada timbal balik, maka kita tidak akan bersemangat meneruskannya. Ramai orang menghadapi situasi ini. Akhirnya mereka akan tertanya-tanya.

“Saya dah buat baik pada kawan saya, tetapi dia buat macam tak tahu je kehadiran saya”
“Saya ada sahabat, tetapi dia tak sayang saya”

“Saya dah hargai dia, tapi dia tak pernah pun hargai saya”

Sebenarnya, hidup ni tak seindah teori. Tidak juga macam drama-drama atau kisah indah di dalam novel. Walaupun sebenarnya, teori itu tidak mustahil direalitikan, dan kisah indah di dalam novel dan drama tak mustahil dibumikan.

Namun kita berhadapan dengan manusia. Manusia ada pelbagai ragam. Apa-apa sahaja boleh terjadi. Justeru, dari mengharap sesuatu yang tidak pasti, lebih baik mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan pahitnya realiti.

Jadilah sahabat kepada orang lain, dan jangan sesekali kita tuntut orang lain menjadi sahabat kita.

Sebab itu, kita dirikan hubungan kita atas matlamat hendakkan keredhaan Allah SWT. Saya sendiri, tidak akan membina ukhuwwah dengan orang sekiranya Allah tak suruh. Jadi, kita bina semua ini adalah kerana Allah SWT.

Jangan putus asa dengan persahabatan anda, kasih sayang anda, yang anda rasa tidak berbalas sehingga hari ini.
Ingat lah bahawa, sekarang ini, dia adalah sahabat anda. Tetapi anda mungkin belum menjadi sahabatnya sekarang.

Saya lalui juga perkara ini sebenarnya. Sahabat yang saya sayang, tak hubungi saya pun. Saya, kalau tiga hari tak hubungi dia dah rasa macam sesuatu yang tak kena. Tapi sahabat saya, tak kisah pun. Tunggu saya hubungi baru nak hubungi saya.

Tapi yang selalu saya kata pada diri saya, adalah apa yang saya katakan pada anda sekarang.

*langitilahi.
0 Komentar untuk ".:Kamu Sahabatku Tapi Aku Bukan Sahabatmu..::"

 
Copyright © 2016 Faqihah Solutions - Hak Cipta Terpelihara
Published By : Faqihah Solutions