.::MeMoHonLaH KeAmPuNan-Nya::.

"Istighfar" ialah membaca "Astaghfirullah" iaitu meminta keampunan daripada Allah atas segala dosa-dosa.

Umat Islam disuruh agar sering beristighfar kepada Allah Ta'ala supaya diampunkan kesalahan yang telah lalu, serta diselamatkan daripada bala di dunia dan azab api neraka.
Istighfar sebenarnya mempunyai kelebihan yang terlalu besar dan banyak sekali, di antaranya yang terpenting ialah diluaskan pendapatan rezekinya, dilimpahkan kepadanya harta yang bertambah, diselesaikan masalahnya dan dikurangkan kesusahan hidupnya.

Perhatikan firman Allah s.w.t. di dalam Surah Nuh, ayat 10-12: "Maka aku (Nabi Nuh a.s.) berkata kepada mereka: Mintalah ampun (istighfar) kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, (dan nescaya) Dia akan mengirimkan hujan(rezeki) kepadamu dengan lebat, dan banyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untuk kamu kebun-kebun dan mengadakan(pula di dalamnya) untuk kamu sungai-sungai."

Jelas daripada ayat ini kelebihan yang hebat sekali bagi orang yang sering beristighfar, iaitu dibukakan baginya pintu rezeki yang luas dari seluruh penjuru, dari langit dan dari bumi, sehingga kepada kebahagiaan keluarga serta anak-anak beserta harta yang banyak!
Berkata Saidina Ali r.a.: "Sungguh hairan orang yang ditimpa kecelakaan, sedangkan baginya ada alat keselamatan! Lalu beliau ditanya: Apakah alat keselamatan itu? Maka Saidina Ali menjawab: (Iaitu) Istighfar!"

Perhatikan pula sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, An-Nasai, Ibnu Majah dan Al-Hakim, di mana Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Sesiapa yang rajin beristighfar,(nescaya) Allah s.w.t. menjadikan baginya pada setiap kesempitan(akan ada) jalan keluar, dan pada setiap kedukaan(ada pintu) kelapangan, dan memberikannya rezeki dengan cara yang tidak disangka-sangka!" Subhanallah!

Rasulullah s.a.w. telah meminta kepada kaum wanita agar lebih banyak membaca "Istighfar" serta "bersedekah" kerana Baginda mendapati ramai di kalangan ahli neraka adalah dari golongan kaum wanita!

Baginda telah ditanya oleh beberapa orang Sahabat, iaitu mengapakah golongan wanita adalah ramai di dalam neraka? Lalu Baginda menjawab: "Mereka banyak mengeluarkan kata-kata yang tidak baik, serta kufur(mengingkari) kebaikan suami(dan orang lain)."

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ini adalah satu peringatan kepada kaum wanita supaya melebihkan istighfar serta bersedekah kerana ini akan meringankan beban dosa mereka di hari akhirat kelak jika mereka ada melakukan dua sifat yang sangat dilarang ini tanpa mereka sedari.

Wallahualam..
0 Komentar untuk ".::MeMoHonLaH KeAmPuNan-Nya::."

 
Copyright © 2016 Faqihah Solutions - Hak Cipta Terpelihara
Published By : Faqihah Solutions