.::Qanaah uBat HaTi Yang MeMbeRonTak::.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Qanaah ialah sifat mulia yang sering menjadi perbualan bagi para penuntut kesejahteraan jiwa.Qanaah ialah rasa dapat berpada dengan apa harta atau kehidupan yang ada pada mereka, sifat ini dapat di rasa oleh mereka yang berhati suci. Adapun mereka yang hatinya penuh dengan penyakit-penyakit jiwa jauh sekali daripada dapat mengecap rasa sifat seumpama itu. Oleh itu jauhlah bezanya hati kita yang bersifat tamak kepada keduniaan ini dengan hati orang yang bernafsu mutmainnah (tenang).

Dengan hal demikian maka Qanaah bukanlah suatu sifat yang dapat di tiru-tiru oleh sebarang orang kerana ia datang daripada pohon hati yang bersih dan suci. Dan yang hati suci umpama ini memanglah memandang kehidupan dunia ini sebagai perkara biasa sahaja. Oleh sebab itu mereka tiada berasa susah, tidak sebagai mana hati kotor yang bersifat tamak.

Demikianlah pula Qanaah suatu sifat budi yang mulia dan sangat berharga. Kepada orang Qanaah bukanlah bererti terhalang kepada mencari harta benda tetapi mereka pun mencari harta tiada kerana lain melainkan untuk memenuhi kehendak kebajikan dan keredhaan Allah, berlainan dengan kehendak kita untuk memenuhi kehendak-kehendak kepuasan nafsu. Ketandusan seumpama sifat ini di dalam hati-hati kita akan melahirkan suatu ketidak puasan atas setiap kurniaan Tuhan.

Hal seumpama ini yang akhirnya akan mewujudkan persengketaan dan permusuhan serta pemberontakan Letusan ketidak puasan hati, ledakan pemberontakan yang berlaku di dalam hati seorang insan yang diterjemahkan di dalam perbuatan dan tingkah laku mereka.

Kebersihan jiwalah ubatnya. Usaha kearah itu perlu dibuat untuk membendung penyakit-penyakit yang sedang menular. Selagi tiada siraman nur kalam-kalam suci dan amalan-amalan rohani pada jiwa-jiwa ini selagi itulah kita akan berhadapan dengan ancaman pemberontakan manusia-manusia berpenyakit hati. .

Wallahualam..
0 Komentar untuk ".::Qanaah uBat HaTi Yang MeMbeRonTak::."

 
Copyright © 2016 Faqihah Solutions - Hak Cipta Terpelihara
Published By : Faqihah Solutions